UNIT Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan rondaan di sekitar KLCC, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin
Hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Negara ASEAN bakal melaksanakan Pelan Tindakan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2016-2025 yang memfokuskan kepada inovasi, teknologi dan produktiviti.

Pelan tindakan itu adalah rentetan daripada pelan tindakan PKS 2010-2015 yang berjaya dilaksanakan ASEAN meliputi enam kunci polisi iaitu akses kepada kewangan, akses pasaran dan pengantarabangsaan, akses kepada pembangunan sumber manusia, akses kepada maklumat dan khidmat nasihat, akses kepada teknologi dan inovasi, dan mempertingkatkan polisi dan persekitaran perundangan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keunikan pelan tindakan 2016-2020 ialah setiap negara akan menjadi juara dalam lima matlamat strategik.

Beliau berkata, Thailand dan Vietnam akan mengetuai matlamat strategik pertama yang mempromosikan produktiviti, teknologi dan inovasi, manakala matlamat strategik kedua, diketuai Malaysia dan Laos dalam meningkatkan akses kewangan.

“Matlamat strategik ketiga pula akan diketuai Singapura dan Thailand dalam meningkatkan akses pasaran dan pengantarabangsaan. Indonesia dan Thailand menjadi ketua dalam peningkatan polisi dan persekitaran perundangan.

“Matlamat strategik terakhir ialah menyentuh mengenai keusahawanan dan pembangunan sumber manusia yang diketuai Filipina, Brunei dan Myanmar,” katanya yang berucap dalam majlis pelancaran pelan berkenaan di sini, semalam.

Pelan strategik itu bertujuan menghubungkan dan mengeratkan hubungan PKS hasil pembentukan Komuniti ASEAN (AEC) yang memberi manfaat kepada pemain industri berkenaan.

PKS adalah kumpulan perniagaan terbesar yang mencatatkan lebih 95 peratus pembabitannya di setiap negara ASEAN dan memberi peluang pekerjaan antara 51 hingga 96 peratus kepada populasi rantau berkenaan serta menyumbang antara 23 hingga 58 peratus ke dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mustapa berkata, pelaksanaan pelan strategik itu akan memberi kesan positif kepada pembangunan PKS domestik dengan langkah yang dilaksanakan untuk membantu integrasi PKS supaya lebih erat dalam rantaian global dan serantau.

“Pelan ini dijangka dapat menubuhkan Pusat Perkhidmatan PKS ASEAN bagi menghubungkan golongan berkenaan dengan ASEAN termasuk enterpris, pedagang, pembekal, pembuatan dan pelanggan.

“Ia juga meliputi pelaksanaan hala tuju untuk melakukan pemantauan berkala dan penilaian terhadap langkah yang dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:33 AM