Suriati (tengah), Abdul Majid bersama anaknya melihat Ijazah Anumerta yang dianugerahkan kepada Muhamad Izzamir pada Majlis Konvokesyen Ke-52 USM.
Mohd Alif Alias
am@hmetro.com.my


Georgetown: “Hasrat arwah untuk menjadi pelajar di sini sudah tercapai, namun hasratnya untuk menamatkan pengajian dan menerima sendiri ijazah pada hari konvokesyen tidak kesampaian,” kata Suriati Omar, 45, ibu kepada Muhammad Izzamir Nabihan Abdul Majid, 23, yang meninggal dunia dalam kemalangan 19 Mac lalu ketika mengikuti rombongan di Aceh, Indonesia.

Suriati yang ditemani suaminya, Abd Majid Abd Gaffor, 55, mewakili arwah anak mereka bagi menerima Ijazah Anumerta dalam bidang Kejuruteraan Sumber Mineral pada Majlis Konvokesyen Ke-52 di Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Menurutnya, sejak kecil, anak kedua daripada lima beradik itu sangat bercita-cita mahu melanjutkan pengajian dan memiliki segulung ijazah dari USM.

“Arwah dilahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur namun setiap kali kami sekeluarga pulang ke kampung suami di Gelugor dan melalui jalan di hadapan USM, dia akan teruja selain kerap memberitahu mahu menjadi pelajar di sini.

“Malah, sebelum ini arwah ada menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke sebuah universiti luar negara di Jordan, namun dia menolak kerana mahu memenuhi impiannya sejak kecil untuk bergelar mahasiswa USM,” katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:19 AM