AHMAD Saufi dan Farra Liza bersama piala dan replika cek masing-masing.

Seri Iskandar: Qari daripada Telekom Malaysia Berhad (TM), Ahmad Saufi Idris dan qariah Lembaga Tabung Haji (TH), Farra Liza Mohd Musa, dinobatkan johan Majlis Tilawah al-Quran Syarikat-syarikat Korporat Peringkat Kebangsaan kali kedua di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP), semalam.

Ahmad Saufi meraih markah 87 peratus, manakala Farra Liza memperoleh markah 83 peratus dan kedua-duanya membawa pulang trofi serta wang tunai RM5,000, pakej umrah tajaan TH dan sijil penghargaan.

Naib johan qari dimenangi Abdul Rahim Shaari (DRB-Hicom) Berhad, manakala Mohammad Syahid Ismail (CIMB Islamic Bank) meraih tempat ketiga.

Bagi kategori qariah, naib johan adalah Azizah A.Rahman dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Dayangku Nurayshah Awang Jidel (PETRONAS) mendapat tempat ketiga.

Semua hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria diiringi Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Ahmad Saufi yang ditemui berkata, dia tidak menjangkakan kemenangan kerana pertama kali menyertai tilawah al-Quran.

Sementara itu, Farra Liza berkata, pengalaman beberapa kali memenangi tilawah al-Quran memberi kelebihan kepadanya untuk berlatih dengan lebih baik dalam pertandingan berkenaan.

Dalam majlis berkenaan, seramai 22 peserta daripada 15 syarikat korporat menyertai pertandingan berkenaan dan pertandingan ini adalah pertama kali diadakan antara syarikat korporat terkemuka di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:15 AM