AHMAD Zahid bersalaman dengan Luhut Binsar.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Perjanjian Pencegahan Jenayah Rentas Sempadan antara Malaysia dan Indonesia perlu dimuktamadkan segera bagi membolehkan ia ditandatangani, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Malaysia mengemukakan perjanjian berkenaan kepada kerajaan Indonesia tetapi ia belum dimuktamadkan lagi.

“Pada hemat kami ia perlu ditandatangani selepas dimuktamadkan supaya tiada tafsiran berbeza dalam soal perundangan yang menyebabkan perlakuan jenayah oleh penjenayah daripada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia Luhut Binsar Panjaitand di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini 4,896 rakyat Indonesia berada dalam penjara di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, katanya, 81 mereka yang dijatuhkan hukuman mati dengan 65 daripadanya terbabit dalam kes dadah berbahaya, 13 terbabit dengan kes kanun keseksaan terutama membabitkan kes pembunuhan, seorang terbabit dalam undang-undang senjata api dan dua lagi dalam kes penculikan.

Beliau berkata, 35 kes yang dijatuhkan hukuman mati dikemukakan ke Lembaga Pengampunan Negeri.

“Di samping itu, ada juga kes yang belum dikemukakan dan mereka sedang dalam proses mengemukakan pengampunan mengikut tatacara perundangan negara kita melalui peguam yang dilantik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Indonesia mengucapkan penghargaan kepada Malaysia terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membantu memadamkan kebakaran di beberapa kawasan di negara itu.

“Mereka (Indonesia) sangat berterima kasih kerana banyak membantu kebakaran yang menyebabkan jerebu dan kesannya turut dirasai oleh rakyat Malaysia.

“Oleh kerana Malaysia mengalami masalah jerebu selama 13 tahun berturut-turut, maka keprihatinan Malaysia mendapat tindakan balas positif daripada Indonesia dan kami bersetuju untuk berusaha menyelesaikan masalah itu tahun depan dan bukan menunggu sehingga tiga tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 6:11 AM