KEADAAN Siti Fatimah yang lumpuh di rumah bapanya di FELDA Tenggaroh 01.

Mersing: Sudah jatuh ditimpa tangga, begitu nasib seorang suri rumah Siti Fatimah Tuzharah Sahadan, 34, yang mengalami jangkitan kuman dalam darah apabila dia lumpuh dan hilang penglihatan.

Menurut bapanya, Sahadan Othman, 68, anak keempat daripada 10 beradik itu disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah dan hilang upaya bergerak kira-kira dua bulan lalu selepas mendapat rawatan di hospital di Johor Bahru.

Katanya, selepas beberapa minggu dirawat, dia membawa Fatimah tinggal bersamanya di FELDA Tenggaroh 01, di sini, dan mendapat rawatan secara tradisional.

“Namun, sebulan lalu anak saya tidak dapat melihat dan keadaannya itu menambahkan kesukarannya untuk menguruskan keluarga terutama tiga anak yang berumur sembilan hingga 15 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Sahadan berkata, dia buntu untuk mengubati Fatimah kerana dia sendiri tidak boleh berdiri lama serta hanya mengharapkan pendapatannya sebagai peneroka FELDA.

Menurutnya, dia pernah ke Baitulmal dan mengisi borang permohonan bantuan, tetapi sehingga kini tiada sebarang jawapan diterima.

“Saya berharap pihak berkenaan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban membiayai kos perubatan, lampin pakai buang, perbelanjaan persekolahan dan harian empat anak Siti Fatimah,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Indon Uyub, 61, berkata, dia dan anak Siti Fatimah yang menjaga keperluannya setiap hari kerana anaknya itu tidak lagi mampu menguruskan diri.

Menurutnya, dia sentiasa mendoakan Siti Fatimah sembuh serta mengharapkan ada pihak yang sudi membantu meringankan beban keluarganya terutama untuk rawatan dan keperluan keluarga anaknya itu.

Orang ramai yang ingin memberikan bantuan boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Sahadan Othman bernombor 151098031096.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:47 AM