ANGGOTA polis mencari bukti di kereta mangsa.

Kajang: Tindakan berani seorang lelaki cuba melawan dua perompak bersenjatakan pisau menyebabkan dia mati ditikam penjenayah di leher.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, mangsa, Joshua Chong Weng Choon, 24, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Desa Bunga Raya, Sungai Chua, di sini, selepas berhibur di pusat karaoke berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, mangsa pergi ke pusat karaoke itu bersama tiga rakannya.

“Bagaimanapun mangsa berjalan kaki pulang ke rumah bersendirian sebelum dihampiri dua suspek.

“Dua suspek lelaki itu mengacukan pisau dan cuba merompaknya. Bagaimanapun mangsa dipercayai melawan.

“Suspek bertindak ganas apabila menikam leher mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Willey berkata, rakan mangsa yang secara kebetulan keluar dari pusat karaoke itu sempat melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya.

“Rakan mangsa kemudian bertanya apa yang berlaku kepada suspek. Namun, suspek menipu dan mendakwa mangsa mabuk.

“Suspek mendakwa mahu membantu mangsa masuk ke dalam kereta. Bagaimanapun rakan mangsa mengesyaki berlaku kejadian buruk selepas melihat seorang suspek memegang pisau,” katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri sejurus rakan mangsa memanggil orang ramai.

Willey berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:24 AM