JOSEPH (tengah) bersama Lee ketika sidang media mengenai MKPN di Putrajaya, semalam.

Putrajaya: Sembilan hasil utama dan 16 cadangan dikemukakan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) sebagai panduan kerajaan untuk merangka Pelan Perpaduan Negara yang dijangka dibentangkan di Parlimen Februari depan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, hasil utama dan 16 cadangan itu merangkumi syor tertentu dalam usaha memelihara, mengukuh dan meningkatkan perpaduan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan cadangan dan hasil utama berkenaan, malah ia juga sudah dibentangkan dalam satu mesyuarat dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri, baru-baru ini.

“Kerangka itu kini dalam proses perbincangan akhir. Antara sembilan hasil utama yang dikemukakan termasuk mewujudkan persefahaman yang lebih baik melalui pembelajaran; demokrasi dan kematangan politik ke arah pembinaan negara serta pemahaman yang seimbang berhubung kedudukan perlembagaan persekutuan sebagai asas negara bangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MKPN Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya, antara 16 cadangan dikemukakan pula termasuk mencadangkan penubuhan Kementerian Perpaduan Negara dan Perpaduan Sosial, menubuhkan suruhanjaya semakan dan pembaharuan undang-undang, pembasmian kemiskinan dengan strategi pelaksanaan, pemantauan dan penilaian berkesan, telus dan berterusan, istilah perpaduan sosial ditekankan semula dan dipromosikan semula kepada orang awam.

Kurup berkata, MKPN turut mencadangkan supaya cadangan itu dilaksanakan melalui program dialog supaya penyampaiannya lebih menyeluruh dan boleh diterima oleh setiap kementerian, jabatan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, beliau juga tidak menolak kemungkinan cadangan itu akan menjadi titik tolak kepada pembentukan undang-undang baru berkaitan perpaduan.

“Selain itu, MPKN akan disusun semula tahun depan dengan keahlian yang lebih kecil supaya tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 5:24 AM