RAPTAI konvoi bermotosikal anggota trafik.

Kuala Lumpur: Seramai 4,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerah bagi memastikan tahap keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak berkaitan yang bermula Rabu hingga Ahad ini pada tahap maksimum.

Jumlah itu penambahan anggota berbanding sebelum ini hanya 3,600 orang saja.

PDRM meningkatkan kawalan keselamatan berikutan serangan di Paris, Jumaat lalu bagi memastikan ketua negara dan delegasi antarabangsa selamat sepanjang berada di negara ini.

Semalam ujian simulasi kawalan keselamatan dan trafik di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diadakan sebagai persediaan rapi menjelang peristiwa bersejarah itu.

Pemimpin ASEAN dan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengesahkan kehadiran.

Beliau akan tiba di sini pada Jumaat sebelum terus menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN 2015 di sini.

Pemimpin dunia lain yang juga rakan dialog ASEAN dijangka hadir Perdana Menteri Russia Dmitry Medvedev, Perdana Menteri China Li Keqiang dan Perdana Menteri India Narendra Modi.

Polis juga melakukan latihan intensif anti-keganasan pada 26 hingga 29 Oktober lalu disertai seramai 20 pegawai polis dan 120 anggota sebagai persediaan menjelang sidang kemuncak tersebut.

Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim dilaporkan berkata, semua anggota akan bertugas di kawasan sensitif sekitar sidang kemuncak termasuk pusat beli-belah Suria KLCC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 12:47 AM