SOLAT berjemaah mengandungi banyak manfaat untuk umat Islam.
Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Kita pasti pernah menunaikan solat secara berjemaah. Malah, bagi lelaki sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu iaitu solat Jumaat. Ganjarannya besar jika hendak dibandingkan dengan solat secara bersendirian.

Melalui solat berjemaah akan terpupuklah semangat kebersamaan, tolak ansur dan keramahan sesama kaum Muslimin, sekali gus menyerlahkan persaudaraan, perpaduan dan keutuhan umat ini.

Solat berjemaah sebagaimana kita sedia maklum dipimpin seorang imam manakala makmum di belakang iaitu dalam saf yang lurus. Kesempurnaan saf tidak harus dipandang ringan kerana ia mempengaruhi kesempurnaan solat berjemaah yang didirikan.

Daripada Jabir bin Samirah, Rasulullah SAW bersabda kepada kalangan sahabat Baginda (maksudnya): “Mengapa kamu semua tidak berbaris seperti kalangan malaikat berbaris di hadapan Tuhan (Allah) mereka?”

Maka kami (sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kalangan malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?”

Baginda SAW menjawab: “Mereka menyempurnakan barisan yang di hadapan dan saling merapatkan barisan.” (Riwayat Muslim)

Ada dua perkara yang perlu diambil perhatian dalam hadis berkenaan. Pertama mengenai betapa perlunya kita memenuhkan saf di hadapan. Hal ini masih tidak diberikan perhatian serius oleh jemaah.

Jika kita dapat perhatikan ada dalam kalangan jemaah melengah-lengahkan, bahkan menunggu dan memandang orang lain agar beralih ke saf hadapan, walhal sepatutnya masing-masing bersegera berbuat demikian.

Sabda Rasulullah SAW mafumnya: “Sempurnakanlah saf pertama, kemudian saf berikutnya. Jika kurang (saf pertama sudah dipenuhi), maka ambillah saf yang belakang.” (Riwayat Ahmad)

Perkara kedua yang perlu diberikan perhatian oleh jemaah ialah keperluan untuk merapatkan dan merapikan saf ketika solat berjemaah. Ini juga satu perkara yang penting dan tidak wajar dipandang sebelah mata.

Dukacita sekali, ada dalam kalangan jemaah yang tidak faham dalam soal ini sehingga ada ruang kosong di antara jemaah sebelahnya. Oleh kerana tidak faham walaupun disarankan berkali-kali, mereka tidak juga mengambil endah.

Sebenarnya, merapatkan dan merapikan saf solat berjemaah bukan perkara remeh. Ia juga bukan satu pilihan kepada jemaah.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Luruskanlah saf-saf kalian kerana sesungguhnya merapikan saf itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan solat (berjemaah).” (Riwayat Muslim)

Daripada Nu’man bin Basyir RA, beliau berkata: “Ketika Rasulullah SAW meluruskan saf solat kami, seolah-olah Baginda sedang meluruskan (menyusun) anak-anak panah, sehingga Baginda benar-benar melihat apa yang Baginda inginkan daripada kami.

“Suatu ketika, Baginda hendak solat dan hampir memulakan takbir, tiba-tiba Baginda melihat seorang lelaki yang dadanya menonjol keluar daripada saf. Lantas Baginda SAW bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah, rapikanlah saf-saf kalian atau Allah akan menjadikan perselisihan di antara wajah-wajah kalian.” (Riwayat Muslim)

Bagaimana keadaan yang dikatakan meluruskan saf ketika solat berjemaah? Ada banyak hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan perihal ini.

Ibnu Umar RA meriwayatkan hadis Rasulullah SAW, mahumnya: “Rapikanlah saf-saf kamu dan rapatkanlah bahu kamu dengan bahu saudara kamu serta tutuplah celah (di antara saf kamu), berlemah-lembutlah terhadap tangan saudara-saudara kamu dan jangan biarkan ada celah yang boleh dimasuki syaitan.

“Sesiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskan hubungan dengannya.” (Riwayat Abu Daud)

Marilah sama-sama kita prihatin terhadap saf solat kita ketika berjemaah sama ada di masjid, surau ataupun di mana-mana saja.

Penulis ialah pensyarah UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 7:27 AM