Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menetapkan satu garis panduan mengenai tatacara pakaian khususnya kepada kakitangan pusat perubatan bagi mengelakkan sebarang diskriminasi agama serta pilih kasih terutama kepada yang baru memohon pekerjaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana isu berkenaan masih berlaku dengan pemohon sesuatu pekerjaan perlu mengikut arahan majikan biarpun syarat yang ditetapkan bercanggah dengan saranan agama.

Katanya, terbaru pihaknya menerima enam aduan berhubung tindakan sebuah pusat perubatan yang menetapkan cara tersendiri untuk memakai tudung yang sememangnya bercanggah dengan tuntutan Islam.

Katanya, berdasarkan aduan itu, pengadu mendakwa majikannya menetapkan pemakaian tudung yang menampakkan leher dan baju berlengan pendek biarpun sudah dimaklumkan mengenainya.

“Saya lihat, ia masih lagi menjadi isu kerana ada pihak seperti sengaja menguatkuasakan peraturan tak masuk akal dan tidak mengambil kira sensitiviti agama.

“PPIM sudah mendapatkan penjelasan pengurusan pusat perubatan itu, tetapi apa yang penting ialah garis panduan daripada kementerian berhubung perkara itu. Sebelum ini sudah ada kes seumpama ini, tetapi membabitkan syarikat lain. Jadi tiba masanya untuk mengambil langkah segera,” katanya kepada Harian Metro.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 10:41 AM