Oleh Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Tumpat: Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal dinaiki bersama kakak dan adiknya merempuh lori rosak yang diparkir di tepi jalan di Kampung Kok Keli 1, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa, Siti Norzakirah Murad, 16, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

Kakaknya, Siti Nordiana, 22, dan adiknya, Siti Nur Aina, 3, hanya cedera ringan.

Mayat Siti Norzakirah kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Keli 2, semalam.

Ibu mangsa, Aini Abdul Rahman, 46, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 2 berkata, anak ketiganya keluar bersama dua beradiknya kerana ingin membeli burger yang dikirim neneknya.

“Saya difahamkan dia tiba di kedai burger dan memesan terlebih dahulu sebelum meronda dengan motosikal sementara menunggu burger siap.

“Bagaimanapun, dalam perjalanan semula ke kedai burger itu, motosikal yang ditunggangnya merempuh lori yang rosak di tepi jalan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 8:12 AM