AHMAD Shabery (tengah) berkomunikasi dengan sukarelawan melalui radio komunikasi pada Fiesta Perikanan 2015, semalam.
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Malaysia mungkin mengambil langkah tegas termasuk menenggelamkan bot nelayan asing yang ditangkap kerana menceroboh perairan negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan juga mengkaji pelbagai kemungkinan lain bagi menangani perkara itu.

“Kerajaan juga menguatkuasa undang-undang terhadap pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing.

“Jika mungkin mengambil langkah seperti Indonesia untuk menenggelamkan bot nelayan asing yang masuk dan merompak hasil laut kita,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Fiesta Perikanan 2015 di pekarangan Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Terengganu Nawi Mohamad dan Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Abd Khalil Abdul Karim.

Ahmad Shabery berkata, kerajaan juga mengkaji dasar berkaitan pemberian lesen kepada pengusaha bot laut dalam.

Menurutnya, terdapat sebilangan daripada pengusaha didapati ‘ali baba’ lesen mereka kepada rakyat asing yang tidak mendaratkan hasil laut ke Malaysia.

“Mereka (nelayan asing) masuk ke perairan kita dan ada yang mengibarkan Jalur Gemilang pada bot mereka, tetapi tidak mendaratkan ikan dan hasil laut ke negara ini, sebaliknya bawa balik ke negara masing-masing.

“Terdapat juga nelayan yang mendaratkan hasil diperoleh ke negara yang mampu membayar lebih banyak disebabkan nilai matawang lebih baik berbanding Malaysia sejak kebelakangan ini,” katanya.

Di majlis sama, Ahmad Shabery turut melancarkan penubuhan sukarelawan perikanan atau nama singkatannya SUPER peringkat negeri.

Menurutnya, SUPER ditubuhkan bertujuan untuk menangani isu atau cabaran yang berkaitan sumber perikanan.

“Ahli SUPER yang dilantik kini mencecah 5,000 orang terdiri golongan nelayan di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:22 AM