DARI kanan, Roslan, Che Mat dan Zulkifli pada Majlis Penghargaan Majikan 2015.
Oleh Roslan Ibrahim
lann@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ada pemohon sanggup menangis dan membuat ‘muka kasihan’ untuk mendapatkan bantuan zakat, malah mereka memberi pelbagai alasan seperti tiada pekerjaan, sakit dan mempunyai tanggungan ramai semata-mata untuk meraih simpati pegawai Baitulmal Wilayah Persekutuan.

Tetapi, apabila pemohonan diluluskan Baitulmal, mereka menyewakan lesen teksi dan gerai kepada orang lain untuk mendapat keuntungan mudah.

Malah, ada nelayan yang mendapat bantuan enjin bot 25 kuasa kuda sanggup membeli enjin 13 kuasa kuda dan baki daripada lebihan itu mereka gunakan untuk diri sendiri.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali berkata, 49 peratus daripada pemohon bantuan Baitulmal ‘menipu’ semata-mata untuk mendapatkan bantuan zakat.

Beliau berkata, pemohon sanggup berlakon di hadapan pegawai Baitulmal tapi apabila PPZ-MAIWP meluluskan bantuan zakat, mereka tidak memandu teksi atau berniaga di gerai yang diberikan tapi menyewa atau menjual kepada orang lain termasuk warga asing.

“Perkara ini amat memalukan kerana mereka ‘menipu’ kami untuk kepentingan diri sendiri sedangkan wang yang mereka gunakan adalah kutipan zakat dipungut daripada umat Islam.

“Kami tidak boleh memaafkan perbuatan seumpama ini kerana mereka memohon bantuan zakat untuk bersenang lenang dengan menyewa teksi dan gerai kepada orang lain.

“Inilah dilema yang kami hadapi dalam kalangan segelintir umat Islam yang mengakui daif, miskin dan tidak berkemampuan tapi hakikatnya tidak begitu,” katanya pada Majlis Penghargaan Majikan 2015, di sini, semalam.

Seramai 114 majikan termasuk The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) antara yang mendapat penghargaan daripada PPZ-MAIWP kerana membuat potongan zakat lebih dari RM500,000 setahun.

Timbalan Pengerusi Badan Khairat NSTP, Roslan Ibrahim menerima penghargaan itu daripada Che Mat. Turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengurus Baitulmal MAIWP, Ustaz Mohd Nizam Yahya.

Beliau kesal dengan dakwaan Baitulmal Wilayah Persekutuan tidak membantu fakir miskin sedangkan kutipan zakat setiap tahun berjumlah jutaan ringgit.

“Mana boleh Baitulmal tidak membantu fakir miskin, malah kami memperuntukan RM400 juta setahun untuk golongan asnaf zakat selain pelbagai bantuan lain termasuk pendidikan dan golongan geladangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 10:24 AM