DARI kiri, Dr Madinah, Mahdzir dan Dr Khair mengadakan perbincangan dengan Andreas (dua dari kanan) di ibu pejabat OECD Paris.
Daripada Johari brahim
joib@bh.com.my

Paris: Kementerian Pendidikan akan melakukan sedikit pengubahsuaian dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi membuka lebih ruang kepada penyertaan dan maklum balas guru dalam pelaksanaannya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengubahsuaian itu dilakukan supaya PPPM tidak dilihat sebagai ‘arahan’ semata-mata kepada guru, sebaliknya ada juga diberikan lebih banyak ruang kepada golongan pendidik dalam pelaksanaan dasar.

“Kementerian Pendidikan sedang memikirkan sedikit pengubahsuaian yang perlu dilakukan dalam PPPM yang mana dasar (sedia ada) dikekalkan (tetapi dilakukan) pengubahsuaian sedikit membabitkan kaedah dalam pelaksanaan.

“(Pada masa ini) semua perkara mesti (diarahkan) kepada guru, sekarang kita nak daripada guru pula kepada kementerian,” katanya ketika ditemui selepas majlis resepsi Pameran Galeri Malaysia dan UNESCO sempena Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-38, di sini.

Beliau enggan memberikan butir terperinci mengenai pengubahsuaian itu tetapi menegaskan ia akan membabitkan peningkatan profesionalisme guru.

“Kita kongsi dasar antara pelaksana dan guru di sekolah. Sekarang ini jadi satu aliran sahaja, semua kena turun beri (arahan) kepada sekolah, guru pun letih. Jadi semua arahan itu kita fikir balik supaya guru pun berasa bahawa dasar itu (dilaksanakan) bersama-sama membina kekuatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pengubahsuaian tidak bermakna PPPM selama ini tidak membabitkan maklum balas guru, sebaliknya ia dilakukan kerana ‘kementerian mahu lebih lagi’.

Gelombang 1 PPPM yang bermula 2013 berakhir hujung tahun ini dan pelan berkenaan akan memasuki Gelombang 2 bermula tahun depan hingga 2020.

Mahdzir serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof turut mengadakan perbincangan dengan Pengarah Direktorat Pendidikan dan Kemahiran Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Andreas Schleicher, yang antara lain menyentuh mengenai peningkatan profesionalisme guru dan pembangunan sekolah.

Mengenai reaksi delegasi asing terhadap PPPM, Mahdzir berkata, beberapa negara membangun dan kepulauan kecil berminat berkongsi pengalaman dan mencontohi Malaysia untuk melaksanakan model sama di tempat mereka.

Katanya, Myanmar dan Bhutan antara negara yang mencontohi PPPM di negara masing-masing termasuk mahu mendapatkan nasihat dari Malaysia manakala Tanzania akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk membangunkan dasar yang sama.

Malaysia akan bertanding untuk menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO pada persidangan kali ini bagi penggal 2015-2019 yang pengundiannya akan diadakan pada 11 November ini.

Malaysia akan berupaya memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan pendidikan peringkat antarabangsa dengan menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO terutama membabitkan negara sedang membangun, kepulauan kecil dan benua Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 9:54 AM