Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi mengenai cadangan pengwujudan AKS di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, semalam.

Putrajaya: Aspek pengurusan sempadan dan aktiviti menangani jenayah rentas sempadan diperkuatkan dengan pembabitan lebih 10,000 anggota pelbagai jabatan dan agensi keselamatan menerusi entiti dikenali sebagai Agensi Keselamatan Sempadan (AKS).

AKS yang berkuat kuasa secara pentadbiran mulai semalam diselaraskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan disertai Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara dan Rejimen Sempadan, Angkatan Tentera Darat (ATM).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, AKS juga penjenamaan semula dan proses naik taraf UPP selain pembabitan pelbagai jabatan dan agensi melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Beliau berkata, pelaksanaan segera AKS jarang berlaku dalam operasi kerajaan namun, ia tidak menambah kos kerajaan, perjawatan dan implikasi kewangan kepada agensi berkenaan.

“AKS memiliki struktur lebih telus dan teratur serta diyakini dapat mengurangkan kes penyeludupan dan pemerdagangan manusia di sempadan negara.

“Selain itu, penguatkuasaan di sempadan negara pula dilakukan bergilir-gilir membabitkan 10,000 petugas berkenaan berbanding hanya 909 kekuatan anggota dimiliki UPP sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Jawatankuasa Tertinggi AKS di sini semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim.

Katanya, terdapat 1,200 kawasan panas dikenal pasti sebagai laluan bagi aktiviti penyeludupan masing-masing di Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis serta turut menjadi laluan barang bersubsidi yang diseludup keluar membabitkan nilai barangan RM5 bilion.

Ahmad Zahid berkata, memandangkan UPP ditubuhkan berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.15, maka satu akta baharu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan bagi menggariskan peraturan dan skop bidang kuasa kawal selia sempadan dengan lebih jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 10:51 AM