Pasukan bomba berkampung di Kampung Beladin untuk mencari Abang Suhaili yang dikhuatiri lemas.
Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my


Betong: Perbuatan seorang guru berenang menyeberangi Sungai Bulin di Kampung Beladin, di sini, membawa padah apabila dia dihanyutkan arus dalam kejadian, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Abang Suhaili Abang Yusof, 51, dikhuatiri lemas ketika cuba menyeberangi sungai itu untuk menangkap ikan.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa bersama rakannya berusia 40 tahun ke sungai itu untuk menangkap ikan dan mengambil keputusan berenang menyeberanginya walaupun arus deras.

Menurutnya, rakannya sudah menghalang niat mangsa kerana khuatir dengan keselamatan mereka tetapi guru terbabit tetap mahu menyeberangi sungai.

“Sebaik tiba di tengah sungai, rakannya melihat mangsa meminta pertolongan sebelum tenggelam dibawa arus deras.

“Rakannya itu kemudian memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung dan satu operasi mencari dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Betong dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, mayat mangsa ditemui jam 8 malam oleh penduduk kampung di jeti berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 10:34 AM