RUMAH penduduk yang dilanda banjir kilat.
Oleh Siraj Mohd Zaini
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hujan lebat sejak petang semalam, mengakibatkan beberapa kawasan di Puchong, Kajang serta Cheras, mengalami tanah runtuh dan banjir kilat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sejak 7 malam, seramai empat mangsa sudah dipindahkan ke dewan berhampiran berikutan banjir kilat di Kampung Sri Langkas Tambahan, Puchong.

Menurutnya, pihaknya turut membuat pemantauan banjir di Kampung Jernih, Batu 14, Cheras.

“Bomba juga menerima maklumat pada jam 7.30 malam mengenai kejadian tanah runtuh di Damai Perdana Kajang, namun tiada mangsa yang dilaporkan.

“Selain itu, sebatang pokok tumbang di Taman Mas Cheras dan sudah dialihkan kira-kira 9 malam ini (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 9:05 AM