ORANG ramai tidak melepaskan peluang menaiki LRT percuma di stesen Kinrara BK5, semalam.
Oleh Umar Mohd Tawil
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Warga kota tidak melepaskan peluang keemasan apabila Prasarana Malaysia Berhad, pengendali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL menawarkan perjalanan percuma selama sebulan untuk penumpang di laluan empat stesen baru laluan Ampang yang beroperasi sejak semalam.

Penumpang boleh mendapatkan token perjalanan sehala percuma disediakan di kaunter khidmat pelanggan Stesen LRT Sri Petaling dan di semua empat stesen terbabit seperti Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 dan boleh berulang alik tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Tinjauan Harian Metro mendapati, semua empat stesen berkenaan penuh dengan kehadiran penumpang terdiri warga tempatan serta warga asing yang mahu menikmati menaiki tren baru berkenaan.

Usahawan Datuk Nordin Husin, 56, memuji usaha Rapid KL menambah beberapa stesen LRT bagi memudahkan orang awam, terutama bagi pengguna yang sering menggunakan pengangkutan awam.

“Inisiatif ini membantu menggalakkan orang awam menggunakan pengangkutan awam, sekali gus dapat mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas di jalan raya.

“Saya lebih selesa menaiki LRT dan akan mengelakkan memandu kenderaan sendiri kerana dapat menjimatkan masa,” katanya.

Pelajar institusi pengajian tinggi swasta yang hanya mahu dikenali Mohammad Alif, 26, berkata, dia akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Bukan senang nak dapat peluang begini, ia dapat menjimatkan kos harian perbelanjaan pengangkutan awam lebih-lebih lagi dengan status pelajar.

“Dengan adanya tren ini, saya tidak perlu lagi ke stesen Sri Petaling pada setiap pagi kerana saya boleh terus menaiki tren dari Stesen Kinrara BK5,” katanya.

Berikutan proses peningkatan sistem isyarat yang sedang giat dijalankan, tren baru berkenaan akan berhenti di stesen Sri Petaling dan penumpang perlu menukar tren di platform lain untuk meneruskan perjalanan dari laluan Sri Petaling ke Sentul Timur.

Terdahulu, Presiden Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz mengumumkan membuka tawaran perjalanan percuma sempena pembukaan di empat stesen baru dan menyarankan penggunaan MyRapid Cards untuk keselesaan perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 8:17 AM