ANGGOTA PPDA mencari Muhammad Azwan di Pantai Irama.

Bachok: “Selepas mandi kami rakam gambar kenangan dan ketika mahu melihat kembali gambar yang diambil dengan telefon itu, tanpa sedar dia (mangsa) dan adik turun mandi sekali lagi.

“Saya turun ke bawah dan melihat hanya tinggal adik saya saja yang mandi,” kata Muhammad Muaz Jusoh, 19, saksi kejadian kanak-kanak dikhuatiri lemas di Pantai Irama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, Muhammad Azwan Arif Azmi, 8, dikhuatiri lemas selepas mandi di pantai berkenaan bersama abangnya, Muhammad Amar Faiz, 11, dan dua rakan iaitu Muhammad Muaz dan adiknya, Muhammad Adam Haiqal, 9.

Muaz berkata, dia memandu kereta ke pantai berkenaan pada jam 8 pagi bersama Muhammad Adam dan dua beradik berkenaan termasuk mangsa yang juga jirannya di Kampung Buloh Poh, dekat Ketereh.

Katanya, sebaik sampai mereka mandi di pantai berkenaan dan selepas selesai mengambil gambar kenangan di atas benteng pantai sebelum bergerak pulang ke rumah.

“Bagaimanapun selepas ambil gambar, saya tak sedar mangsa dan adik, Muhammad Adam turun mandi semula. Apabila tengok hanya adik yang tinggal dan saya turun mengambilnya sebelum menghubungi ibu bapa mangsa untuk memaklumkan kejadian,” katanya yang memberitahu datang ke pantai itu untuk bersiar-siar bagi menghabiskan cuti terakhir sebelum menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Bapa mangsa, Azmi Mohd, 54, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu keluar rumah jam 8 pagi untuk ke Pantai Irama bersama abang dan rakannya.

Katanya, beberapa hari sebelum kejadian, mangsa menunjukkan perangai pelik apabila selalu meragam dan mahu pergi ke tempat lain.

“Sebelum keluar anak saya minta izin nak ke pantai itu dan memberitahu dia nak pergi kali ini saja dan tidak menyangka kejadian itu akan menimpa anak saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Mohammad Khairu Yusoff berkata, sehingga jam 6.30 petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi dihentikan sebelum disambung jam 8 pagi esok.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.41 pagi dan tujuh anggota termasuk seorang pegawai, lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

“Seorang pegawai bersama empat anggota polis Bachok, tujuh anggota Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lima ahli Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut terbabit dalam operasi ini.

“Operasi pencarian dijalankan di sekitar tempat mangsa jatuh kira-kira 200 meter ke timur, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 9:02 AM