KEADAAN Proton Satria milik mangsa nahas empat kenderaan.

Shah Alam: Seorang lelaki maut apabila kereta Proton Satria dipandunya terbabas dan menghentam tiga kenderaan lain di Kilometer 5.5, Lebuhraya Guthrie, berhampiran Bukit Jelutong di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 10.30 pagi itu, mangsa Ahmad Zamril Zahrin, 24, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiga lagi kenderaan.

Menurutnya, mangsa dikatakan memandu dari Subang menuju Shah Alam sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Kejadian itu menyebabkan kenderaan mangsa berpusing dan melanggar lori dan akhirnya merempuh bas yang berhenti di bahu jalan kerana mengalami kerosakan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia kerana cedera parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 9:29 AM