Bob (kiri) dan Citra (kanan) yang dirampas daripada aktiviti perdagangan hidupan liar secara haram dalam OP TARING III.

Kuala Lumpur: Selepas tiga bulan dijadikan ‘anak angkat’ di pusat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dua anak Orang Utan Sumatera, Indonesia, dihantar pulang ke negara asal menaiki pesawat MAS Kargo, hari ini.

Dua anak Orang Utan itu berjaya diselamatkan pihak Perhilitan selepas diseludup masuk ke negara ini dan mahu dijual pada harga RM40,000 pada Julai lalu.

Haiwan itu yang diberi nama Bob dan Citra berusia kurang setahun ditemui disembunyikan di dalam beg pakaian berhampiran hotel di Klang, Selangor.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penghantaran ini adalah hasil kerjasama dengan Balai Besar Konservasi Sumber Daya Alam Sumatera Utara (SOCP) dan MAS Kargo.

Menurutnya, urusan penghantaran balik Orang Utan spesies Pongo Abelii ini adalah berlandaskan kepada peruntukan mengikut Artikel 8 CITES dan Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686).

“Orang Utan Sumatera adalah spesies yang diklasifikasikan sebagai amat terancam mengikut Kesatuan Antarabangsa untuk Perlindungan Alam Sekitar (IUCN).

“Selain itu, spesies ini juga dilindungi sepenuhnya mengikut (Akta 716) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, empat individu yang ditahan kerana menyeludup anak Orang Utan itu kini dalam proses pendakwaan di mahkamah dan dituduh mengikut Seksyen 69(1) dan Seksyen 86 (1) (f) Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 10:19 AM