Oleh Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Bau busuk dan ‘banjir kicap’ menghantui kira-kira 200 penduduk Kampung Bahagia Bukit Ladong, di sini, selepas kawasan perkampungan mereka menjadi lokasi pelupusan kicap dan barang makanan tamat tempoh sejak dua bulan lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA), Adzly Ab Manas berkata, pencemaran berkenaan dipercayai dilakukan pihak luar yang tidak bertanggungjawab dan bukan penduduk tempatan.

“Dua minggu lalu, beberapa kediaman penduduk yang berdekatan dengan lereng bukit ini dimasuki air kicap basi yang turun dari lokasi pelupusan sampah haram selepas hujan lebat tanpa henti sepanjang hari.

“Antara barangan yang dibuang di situ termasuklah sos, makanan dalam tin, minyak masak, mentega dan sisa bahan binaan,” katanya.

Susulan itu, pihaknya akan membawa aduan itu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selain mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah mengambil perhatian terhadap perkara itu.

Katanya, berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab berkenaan, penduduk kampung mengambil langkah menutup dua laluan yang digunakan untuk memasuki lokasi berkenaan bermula petang semalam.

“Selain jalan utama masuk ke kawasan kampung ini, kami juga menutup laluan alternatif yang boleh dimasuki dari Kampung Desa Aman.

“Tujuannya untuk menghalang lori berkenaan masuk pada waktu awal pagi dan tengah malam untuk membuang kicap dan sampah,” katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 61, berkata, masalah itu semakin menjadi-jadi sejak dua minggu kebelakangan ini apabila lori haram dikenal pasti memasuki kawasan perkampungan antara tengah malam hingga awal pagi.

“Kami mahu tindakan segera dan meminta pihak berkenaan mengenakan tindakan keras kepada pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit,” katanya.

Difahamkan, lokasi berkenaan terletak bersebelahan dengan kawasan hutan simpan milik Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:56 AM