Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Keprihatinan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk merapatkan jurang pendidikan yang wujud adalah satu agenda utama dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Sehubungan itu, inisiatif membantu pelajar menerusi pelbagai jenis bantuan yang disediakan termasuk Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) adalah satu agenda yang sentiasa menjadi keutamaan kementerian berkenaan.

Ini kerana sejak diwujudkan lebih 12 tahun lalu tabung berkenaan terbukti mampu mengurangkan jurang golongan miskin dan yang berkemampuan dalam mendapatkan peluang serta akses kepada pendidikan sama rata bagi melahirkan pelajar cemerlang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Wan Khazanah Ismail berkata, KWAPM adalah untuk warga negara Malaysia yang bersekolah di sekolah rendah atau menengah kerajaan dan bantuan kerajaan (Tahun 1 hingga Tingkatan 1).

Katanya, ia ditubuhkan pada 2003 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan juga selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuat kuasa mulai Januari 2003 di bawah Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (akta 550) yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak bersekolah mulai umur tujuh tahun (pendidikan rendah).

“Objektif utama penubuhan tabung KWAPM adalah untuk membantu ibu bapa pelajar yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah bagi membasmi keciciran pelajar daripada persekolahan akibat kemiskinan keluarga.

“Ia juga selaras dengan hasrat kementerian untuk memberikan golongan berkenaan akses pendidikan yang sama rata demi menjana kecemerlangan negara,” katanya ketika ditemui.

Menurut Wan Khazanah lagi, bantuan untuk membiayai keperluan pendidikan terbabit bukan saja diberikan kepada pelajar di sekolah kerajaan, malah sekolah bantuan kerajaan juga turut menerimanya berdasarkan senarai e-Damak, e-Kasih dan Data Sedia Ada (DSA).

Justeru, kata Wang Khazanah, semua sekolah perlu menasihatkan penjaga atau ketua isi rumah supaya menentukan di mana kedudukan kewangan keluarga masing-masing dan perlu segera mendaftar dengan e-kasih jika berada di bawah paras kemiskinan.

Kata beliau, jumlah penerima di setiap negeri semakin meningkat saban tahun dan ia mungkin disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup yang tinggi, pertambahan bilangan isi rumah dan sebagainya.

“Berdasarkan rekod kementerian, pada tahun lepas saja lebih 975,328 pelajar menerima bantuan tabung berkenaan berbanding hanya 30,833 orang pada 2003.

“Sehingga Ogos tahun ini pula, jumlah perbelanjaan kepada penerima adalah sebanyak RM172,034 juta berbanding RM87.7 juta pada 2003,” katanya.

Keadaan itu sedikit sebanyak mendorong KPM berusaha mencari alternatif lain bagi mengumpul dana tambahan termasuk mendapatkan sumbangan daripada orang ramai serta syarikat swasta.

Wan Khazanah berkata, jumlah penjawat awam di seluruh negara sekarang adalah 1.61 juta orang dan jika seorang daripada mereka menyumbang menerusi potongan gaji RM1 saja setiap bulan, tabung berkenaan mampu mengumpul RM1.61 juta sebulan.

“Jadi, KPM sentiasa menggalakkan orang ramai dan syarikat swasta supaya tampil menghulurkan bantuan kepada tabung ini dan sumbangan boleh disalurkan secara terus ke akaun Maybank 564016117704 atas nama Ketua Akauntan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Individu yang membuat sumbangan kepada tabung KWAPM juga berpeluang menikmati pengecualian cukai tahunan dan kita harap selepas ini akan lebih ramai yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu pelajar memerlukan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan KPM sudah mengarahkan sekolah supaya meneliti dan mengenal pasti pelajar yang tidak didaftarkan dalam e-Kasih, tetapi memenuhi syarat kelayakan untuk menerima bantuan tabung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:41 AM