Oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Bahang tangan ayah masih terasa kerana saya yang menggenggam tangannya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir di depan semua adik-beradik lain di hospital pagi tadi (semalam),” kata Wafaa Abdul Kadir, 50, anak sulung mantan Mufti Wilayah Persekutuan Tan Sri Abdul Kadir Talib.

Wafaa yang juga pelakon dan penerbit berkata, bapanya yang berusia 87 tahun dimasukkan ke hospital dua minggu lalu berikutan masalah kesihatan menyebabkan beliau bersama empat beradik lain bergilir-gilir menjaganya.

“Kebetulan pagi tadi (semalam) kami adik-beradik menunggu di wad dan sebaik kami bersiap untuk solat Subuh secara tiba-tiba Allahyarham tidak sedarkan diri menyebabkan saya mengajarnya mengucap,” katanya, di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, di sini, semalam.

Beliau yang masih menjalani rawatan akibat kemalangan Mei 2013 lalu, berkata, sebagai anak sulung, pemergian ayahnya memberi kesan mendalam kerana perlu memikul tanggungjawab sebagai bapa dan ibu kepada adik-beradik.

“Selepas ini, saya tempat mengadu kepada adik-beradik yang lain kerana ibu, Puan Sri Sohair Abdul Moneim Sery meninggalkan kami 13 tahun lalu dan kini bapa pula sudah tiada.

“Pesanan ayah tidak meninggalkan solat dan sentiasa berbuat baik kepada semua orang menjadi pegangan saya membimbing adik-beradik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:35 AM
AHLI keluarga mengusung jenazah Abdul Kadir untuk pengebumian di Bukit Kiara, semalam.