Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bom dipasang pada motosikal dinaiki suami isteri sehingga menyebabkan mereka maut dalam letupan di Kilometer 3 Jalan Pulai-Gua Musang, dekat Kampung Pulai, Gua Musang, kelmarin dipercayai dibeli di selatan Thailand.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, bahan letupan itu dibeli pada harga RM300 sebelum diletakkan pada motosikal mangsa tiga hari sebelum kejadian.

Katanya, hasil soal siasat, suspek berusia 27 tahun mengaku merancang jenayah itu selepas mangsa enggan menjual tanah seluas 4.8 hektar.

“Bahan letupan dibeli suspek di selatan Thailand dengan harga RM300 sebelum diletakkan pada motosikal mangsa.

“Bagaimanapun saya tidak boleh ulas lanjut berhubung jenis dan bagaimana ia diletupkan kerana ia masih disiasat Unit Pemusnah Bom dari Bukit Aman,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani bersama Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Zon Timur 2015, di sini, semalam.

Harian Metro, semalam melaporkan sepasang suami isteri warga emas ‘berkecai’ selepas motosikal mereka meletup akibat dipasang bom.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Cha Mok Liong dan isteri, Fong Ah Fong, masing-masing berusia 72 tahun dalam perjalanan ke kedai makan berhampiran untuk bersarapan dan tidak menyedari motosikal jenis Demak yang dinaiki dipasang bom.

Difahamkan, pasangan itu dalam perjalanan ke pejabat Lembaga Getah Malaysia untuk menyelesaikan beberapa urusan dan mahu singgah bersarapan.

Mazlan berkata, suspek yang mempunyai dua anak dikatakan terdesak mendapatkan wang perbelanjaan bagi membawa pulang isterinya yang juga warga Laos.

“Sebelum ini, isteri suspek ditahan dan diusir keluar dari negara ini.

“Suspek yang terdesak mendapatkan wang meminta si mati menjual tanah, namun mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan dia meletakkan bom pada motosikal mangsa,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek anak saudara si mati yang dijadikan anak angkat.

“Dengan tertangkapnya suspek, kes ini dianggap sudah selesai. Sehubungan itu, saya minta tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi termasuk mengaitkan kejadian itu dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:48 AM