ABDUL AZIZ keluar dari mahkamah.

Ipoh: Empat pegawai kanan Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM), termasuk pasangan suami isteri didakwa dengan 15 pertuduhan menerima rasuah serta pengubahan wang haram bernilai lebih RM1.3 juta berkaitan urusan pembekalan barangan TLDM sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Tiga tertuduh iaitu Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 33, dan suaminya, Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36, serta Leftenan Kuvendran Sukumaran, 36, mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM500,000 manakala Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, yang didakwa di mahkamah berasingan atas lima pertuduhan pengubahan wang haram turut membuat pengakuan sama.

Rozlin bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 3, Depoh Bekalan Armada TLDM Lumut menghadapi dua pertuduhan manakala suaminya, Rizalman berdepan empat pertuduhan membabitkan penerimaan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM420,852 menerusi kad Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) Affin Bank dan CIMB Prefered sebagai upah meluluskan kerja pembekalan bernilai RM1.36 juta kepada sebuah syarikat apabila seorang individu bernama Hussin Roslim @ Roslind mempunyai kepentingan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pasangan terbabit yang mempunyai dua anak kecil di No 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Seri Manjung, Seri Manjung, antara Oktober tahun lalu dan Januari tahun ini.

Rozlin didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala suaminya didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) akta yang membawa hukuman hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan iaitu jumlah keseluruhan RM20,000 kepada Rozlin manakala RM40,000 kepada Rizalman termasuk menyerahkan pasport antarabangsa.

Kuvendran pula menghadapi empat pertuduhan mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu sebagai penjawat awam menerima barangan berharga tanpa balasan daripada Mohd Nasir Abdullah dengan jumlah keseluruhan lebih RM100,000 melalui sekeping kad Debit CIMB, apabila syarikat Mohd Nasir mempunyai kepentingan dan ada hubungan dengan kerja rasminya.

Semua kesalahan didakwa dilakukan antara Januari dan Oktober 2014 di sekitar Lumut dan tertuduh turut dibenarkan ikat jamin RM32,000 iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, Abdul Aziz pula didakwa atas lima pertuduhan mengikut seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 iaitu membabitkan pengubahan wang haram dengan jumlah keseluruhan RM840,00 yang didakwa dilakukan antara Jun 2014 hingga Mac lalu.

Abdul Aziz yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Memerintah Depoh Bekalan Armada TLDM Lumut didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Lumut, CIMB Bank Cawangan Seri Manjung, Tabung Haji Cawangan Sitiawan dan di No 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Seri Manjung, Seri Manjung, antara Jun tahun lalu dan Mac tahun ini.

Hakim Ikmal Hisan Mohd Tajuddin membenarkan jaminan tertuduh RM50,000 manakala semua pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran.

Rozlin, Rizalman dan Kuvendran diwakili peguam Norhasham Hasan manakala Abdul Aziz diwakili Collin Arvind Andrew serta Mohd Fadly Hashim. Semua kes disebut semula pada 11 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:26 AM