SYED Hamid (kanan) bersama Ismail (dua dari kanan) dan Azmi (kiri) meninjau penyambungan jajaran, semalam.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi jaminan pelarasan kadar tambang baru transit aliran ringan (LRT) dan monorel bakal dikuatkuasakan akhir bulan ini tidak akan membebankan pengguna.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kertas cadangan berkaitan mendapat kelulusan Kabinet dan pihaknya mengadakan perbincangan lanjut dengan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA).

Katanya, menjadi hasrat kerajaan supaya pengguna beralih kepada pengangkutan awam dan ia membabitkan kos dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan selesa.

“Memang ada kenaikan tambang, tapi saya akan pastikan tidak bebankan rakyat. Kita akan selaraskan tambang dan memaklumkan kepada PRASARANA susunan tambang baru dengan segala kemudahan yang ada.

“Selepas diperincikan kita akan maklumkan semula kepada PRASARANA untuk membuat pengumuman,” katanya selepas meninjau perkembangan projek penyambungan jajaran transit aliran ringan (LRT) bagi laluan Ampang di Stesen Awan Besar, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PRASARANA Tan Sri Ismail Adam, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PRASARANA Datuk Azmi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah.

Syed Hamid berkata, pihaknya tidak dapat memperincikan kadar kenaikan dalam pelarasan tambang itu kerana ada beberapa perkara masih diteliti pihaknya dan PRASARANA.

Katanya, orang ramai diharap bersabar dan menunggu pengumuman rasmi mengenai tambang itu bagi mengelak kekeliruan.

“Masih awal untuk tentukan berapa peratus kenaikan lain-lain kerana ada beberapa perkara sedang diteliti,” katanya.

Mengulas lawatan kerjanya itu, Syed Hamid berkata, projek fasa pertama jajaran LRT itu membabitkan empat stesen iaitu Stesen Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 dijangka beroperasi 31 Oktober ini.

Beliau berkata, projek itu 99.4 peratus siap dan kini di peringkat akhir pengujian laluan tren bagi memastikan ia selamat.

“Pengujian ini membabitkan (jarak) 4,000 kilometer bermakna kita memberi fokus supaya aspek keselamatan diberi keutamaan agar beroperasi tanpa gangguan atau kerosakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan tahniah kepada PRASARANA serta Express Rail Link Sdn Bhd yang terbabit dalam membantu perkhidmatan rel Al Mashaaer Mugaddasah Makkah Metro pada musim haji baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:19 AM