Tengku Musa menyiapkan tempahan gigi palsu pelanggannya di Taman Permint Perdana, Kampung Batin, Seberang Takir.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Kuala Nerus: Dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan tidak menghalang seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mencari rezeki untuk menanggung isteri dan tiga anaknya dengan membuka sebuah kedai membuat gigi palsu di Taman Permint Perdana, Kampung Batin, Seberang Takir, di sini.

Kepakaran dimiliki Tengku Musa Tengku Ibrahim, 54, yang dilahirkan bisu dan pekak itu diperoleh ketika bekerja di sebuah klinik pergigian swasta di Kuala Terengganu.

Isterinya, Tengku Moheran Tengku Husin, 48, berkata, pengalaman suami bekerja selama 17 tahun di klinik membantunya membuka sebuah kedai sendiri dengan perniagaan pertama dijalankan di rumah mereka di Kampung Losong Masjid, Kuala Terengganu bermula 1995.

“Sebelum ini, perniagaan kami dibuka di Kampung Losong Masjid, Kuala Terengganu tetapi berpindah ke Taman Permint Perdana, Kampung Batin, Seberang Takir sejak 2010.

“Alhamdulillah, pendapatan yang diperoleh banyak membantu kehidupan kami sekeluarga kerana pelanggan bukan hanya terdiri daripada penduduk daerah ini atau Kuala Terengganu, tetapi tempahan dari luar negeri termasuk Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.

“Kebanyakan pelanggan tahu mengenai perkhidmatan kami melalui mereka yang pernah membuat gigi palsu daripada kami,” katanya yang turut bertindak selaku jurucakap suaminya.

Tengku Moheran berkata, dia sendiri tidak menyangka perniagaan yang diusahakan mendapat sambutan dan percaya faktor harga lebih murah serta kualiti menyebabkan perniagaan mereka semakin dikenali.

Katanya, bayaran yang dikenakan bagi sebatang gigi adalah RM105, manakala RM600 dikenakan bagi gigi penuh.

“Perniagaan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala Jumaat hanya dibuka pada waktu pagi, tetapi jika ada pelanggan datang pada waktu malam tetap akan dilayan memandangkan kedai kami hanya di depan rumah.

“Kami sememangnya terhutang budi dengan bekas majikan yang tidak keberatan menurunkan ilmu kepada suami sehingga kami mampu membuka sebuah kedai membuat gigi palsu seterusnya menjadi sumber pendapatan,” katanya.

Menurutnya, anak sulung, Tengku Mizan, 23, turut menunjukkan minat apabila sering membantunya menyiapkan tempahan.

“Jika diizinkan, kami berhasrat membuka sebuah cawangan lain untuk dikendalikannya kerana dia sendiri sudah mahir membuat gigi palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 6:32 AM