MOHYEN menyerahkan cek insurans kematian Dr Siti Haryati kepada Farah Zuyyin sambil diperhatikan Sheikh Ali (tiga daripada kiri).
Oleh Noor Aznida Alias
am@hmetro.com.my


Kuala Nerus: “Arwah pernah beberapa kali menyuarakan keinginan untuk mati di Makkah dan tidak sangka permintaannya dimakbulkan Allah,” kata Sheikh Ali Sheikh Salim, bapa kepada jemaah haji yang meninggal dunia ketika menunaikan ibadat haji, baru-baru ini.

Prof Madya Dr Siti Haryati, 43, pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun meninggal dunia ketika dalam perjalanan menaiki bas dari Mina ke Makkah selepas mengalami sesak nafas disebabkan penyakit paru-paru berair dan kencing manis.

Sheikh Ali, 70, berkata, anak sulungnya itu meninggal dunia jam 6.45 pagi ketika umat Islam menyambut Aidiladha dan dia dimaklumkan menantu, Hanafi Talib, 43, mengenai perkara itu yang turut menunaikan haji bersama arwah.

“Sebelum ke Makkah, arwah kerap kali menyuarakan hasratnya kepada anak sulungnya (Farah Dini Hanafi, 18) yang dia ingin bersemadi di Tanah Suci tetapi kami menyangka dia bergurau.

“Suaminya memaklumkan arwah meninggal dunia dipangkuannya selepas mengucap dua kalimah syahadah.

“Kami sekeluarga termasuk tiga anaknya reda dengan pemergian arwah,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian cek insurans oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di rumahnya di Taman Wira, Kampung Kubang Badak.

Cek bernilai RM1,500 itu disampaikan Pengarah TH Terengganu Mohyen Mosman kepada anak kedua arwah, Farah Zuyyin, 14.

Sheikh Ali berkata, dua cucunya, Farah Zuyyin dan Farah Adneen, 11, kini di bawah jagaannya sementara menunggu Hanafi pulang pada 22 Oktober ini.

“Farah Zuyyin dan Fatin Adneen bersekolah di Dungun tetapi bercuti sebulan, manakala Farah Dini membuat persiapan menyambung pelajaran ke Australia.

“Wang ini saya serah kepada bapa mereka (Hanafi) apabila pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 6:29 AM