ABDUL Rashid didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas kesalahan memiliki rokok haram.
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Ipoh: Padah memiliki rokok seludup, dua pemilik premis perniagaan dikenakan hukuman denda maksimum iaitu 20 kali ganda nilai barangan termasuk seorang daripadanya turut dipenjara sehari di dua Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Kes pertama di Mahkamah Majistret 3 membabitkan seorang pemilik kedai runcit, Abdul Rashid K E Shaikh Dawood, 60, yang didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kedainya di Gunung Rapat, di sini, pada 10.30 pagi, 29 September lalu.

Tertuduh ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 314 peket atau 5,726 batang rokok putih dan keretek bernilai RM472.32 yang disembunyikan di bawah rak barangan runcit di kedainya.

Abdul Rashid didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan dia yang diwakili peguam Harbajan Singh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Melalui peguamnya, tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan kerana dia seorang warga emas yang sudah kematian isteri serta mempunyai empat anak termasuk yang masih belajar di universiti selain kesalahan itu kali pertama dilakukannya.

Majistret Haslinda A Raof kemudian menjatuhkan hukuman denda maksimum iaitu 20 kali ganda jumlah barangan sebanyak RM9,446.40 serta penjara sehari selain penjara dua tahun jika gagal membayar denda dikenakan.

Sementara itu, kes di Mahkamah Majistret 1 membabitkan pemilik kedai Deli Depot di Taman Cempaka, Lee Fui Mui, 33, yang didakwa mengikut akta sama kerana memiliki barangan larangan import iaitu 1,000 batang rokok putih bernilai RM50 pada jam 7.45 malam 12 April 2013.

Fui Mui yang diwakili peguam Chiang Mei Wan kemudian mengaku bersalah dan Majistret Suhaima Mohd Noor menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000.

Kedua-dua pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa JKDM Nur Izyani Ismail manakala peguam yang mewakili dua pemilik premis berkenaan adalah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 6:02 AM