AZMAN (kiri) menunjukkan telefon suspek yang dirampas.
Oleh Oleh Ibrahim Isa
ibrahim.isa@hmetro.com.my

Muar: Berang kerana 31 laporan berkaitan masalah keluarganya tidak diselesaikan, seorang lelaki nekad menghubungi Ketua Polis Daerah Muar untuk mengadu berkaitan dua anggota balai polis itu sebelum mengugut membakar balai polis itu jika aduannya masih tidak diselesaikan.

Lelaki yang juga peneroka generasi kedua FELDA Maokil berusia 35 tahun itu dikatakan tertekan dan berang selepas laporan polis berkaitan isterinya yang melarikan diri sejak lebih dua tahun lalu masih belum diselesaikan.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek menghubungi telefon bimbitnya pada jam 12.05 tengah hari Khamis lalu dan memaklumkan rasa tidak puas hati terhadap dua anggota polis.

Menurutnya, suspek pada mulanya memberikan kerjasama apabila diminta memberikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat sebelum bertindak kasar apabila diminta memberikan nombor laporan polis yang dibuat sebelum ini.

“Suspek mula bercakap kasar sebelum mengugut membakar balai polis menyebabkan saya tiada pilihan lain kecuali membuat laporan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Bertindak atas laporan dibuat, beberapa anggota diketuai Ketua Balai Polis Pagoh, Inspektor Mohamad Hairul Faizal Mohd Ali pergi ke rumah suspek di FELDA Maokil untuk menahannya.

“Lelaki itu terkejut dan pada mulanya ingin memberikan kerjasama, namun apabila diminta mengikut ke balai polis dia cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Katanya, pada masa sama, suspek mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota dan pegawai bertugas sebelum dia dibawa ke IPD bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan mendapati suspek membuat 31 laporan polis berkaitan isterinya iaitu 16 laporan dilakukan di Balai Polis di Segamat, 14 di Muar dan satu lagi di Batu Pahat.

“Selain itu, suspek ingin meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap dua anggota polis di kawasan berhampiran rumahnya kerana tidak menyelesaikan masalahnya itu.

“Dia sepatutnya faham, laporan polis dilakukannya berkaitan masalah keluarga iaitu tidak tinggal sebumbung dengan isteri sejak lebih dua tahun lalu, namun kami merujuk kes itu ke agensi kerajaan berkaitan kerana berada di luar bidang kuasa kami,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas tiga telefon bimbit suspek dan motosikal manakala pemeriksaan mendapati dia tiada rekod jenayah lampau.

Azman berkata, lelaki itu mengaku mengeluarkan kata-kata ugutan kepadanya dan ujian air kencing mendapati lelaki itu bebas pengaruh dadah.

Katanya, suspek direman empat hari berakhir semalam serta dibawa ke Hospital Permai Johor Bahru untuk menjalani pemeriksaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507, Kanun Keseksaan kerana mengugut dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:21 AM