DR Wan Junaidi melihat penunggang motosikal memakai topeng muka ketika mengedar kelengkapan berkenaan di MEX.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Keadaan jerebu teruk yang melanda negara buat masa ini diramalkan berkurangan secara berperingkat bermula semalam sehingga Ahad ini berikutan berlaku perubahan tiupan angin.

Itu ramalan diberikan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam selepas melihat ribut tropika (Mujigae) memasuki kawasan daratan dan kini berada 500 kilometer (km) ke arah barat Guangzhou, China.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan itu menyebabkan tiupan angin di kawasan serantau negara menjadi lemah dan bertiup dari pelbagai hala, sekali gus mengurangkan masalah jerebu yang melanda negara.

Bagaimanapun, katanya, jika kebakaran terbuka di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih berterusan, kemungkinan asap jerebu kembali semula ke Malaysia.

“Malah, keadaan jerebu juga tertakluk kepada tiada ribut tropika yang baharu terbentuk,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Membincangkan Keadaan Jerebu Yang Melanda Negara Bil. 3/2015 di sini, semalam.

Katanya, dalam tempoh sekarang hingga 11 Oktober, jerebu dijangka tiba di Sarawak bermula hari ini sehingga Jumaat sebelum berkurangan pada Sabtu disebabkan perubahan tiupan angin.

Wan Junaidi berkata, beliau difahamkan, Indonesia tidak menjangka dapat menyelesaikan kebakaran terbuka itu sehingga akhir November depan, namun keadaan jerebu tetap bergantung pada perubahan tiupan angin.

Katanya, mesyuarat semalam bertujuan mendapatkan status terkini keadaan jerebu daripada agensi berkaitan selain tindakan yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan jerebu.

Wan Junaidi berkata, pencemaran jerebu merentas sempadan mula melanda negara 22 Ogos lalu dan masih berlanjutan sehingga ke hari ini, malah mencapai kemuncaknya 15 September lalu di mana 34 kawasan merekodkan status kualiti udara tidak sihat hampir di seluruh negara.

Pada 4 Oktober lalu, Shah Alam, Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi iaitu 308 (berbahaya) sekitar jam 9 pagi dan 10 pagi.

Semalam, Wan Junaidi turut menyempurnakan program kesedaran awam di Plaza Tol Maju Expressway (MEX) Putrajaya dan mengedarkan penutup hidung dan mulut kepada pengguna lebuh raya dan penunggang motosikal.

Program mengedarkan penutup hidung dan mulut itu simbolik kepentingan melindungi kesihatan dan pencemaran jerebu.

Wan Junaidi turut mengedarkan risalah berkaitan jerebu dan Larangan Melakukan Kebakaran Terbuka diterbitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:16 AM