Willey (tengah) menunjukkan peket heroin yang dirampas, awal pagi kelmarin.

Semenyih: Sekumpulan lapan lelaki termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan polis selepas dikesan menyembunyikan dadah heroin di dalam bekas aiskrim dan di bawah tilam.

Dalam serbuan jam 3.10 pagi kelmarin, sepasukan anggota cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bertindak menyerbu sebuah rumah di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, seramai lima lelaki dan seorang remaja perempuan ditahan ketika berada di rumah itu.

“Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di rumah itu, polis menemui 67 peket dadah heroin seberat 144.9 gram disimpan di dalam bekas aiskrim dan satu beg tangan wanita disorok di bawah tilam.

“Semua dadah bernilai lebih RM2,600 itu dipercayai diperoleh suspek dari Negeri Sembilan dan diedarkan sekitar kawasan Beranang,” katanya.

Willey berkata, penahanan enam suspek terbabit susulan laporan kes samun membabitkan seorang lelaki berusia 30-an, petang Sabtu lalu.

“Ketika kejadian, mangsa berada di rumah rakannya di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang sebelum didatangi lapan lelaki menaiki dua kenderaan Toyota Vios dan Honda Jazz,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipukul menggunakan besi dan batu selain telefon bimbit, kunci motosikal dan wang tunai RM100 milik mangsa disamun.

“Mangsa yang cedera di kepala dan calar di badan dan tangan akibat dipukul kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:08 AM