Kepala Batas: “Kami bersyukur jasad Muhammad Firdaus ditemui selepas enam hari hilang di laut. Sekurang-kurangnya ada kubur di darat dan tidak hilang begitu saja,” kata kakak kepada Muhammad Firdaus Ishak, 27, nelayan yang jatuh dari bot di muara Sungai Muda, Penaga, dekat sini, Khamis lalu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Kak Chaq, 30-an berkata, selama enam hari keluarganya menunggu berita mengenai operasi mencari adiknya selepas dia dikatakan terjatuh ke laut ketika mencuci bot jam 2.30 petang.

“Selepas enam hari mencari bersama pasukan penyelamat, akhirnya mayat Muhammad Firdaus berjaya ditemui. Walaupun sedih dengan kejadian itu, kami bersyukur kerana arwah tidak hilang begitu saja,” katanya ketika ditemui di Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, semalam.

Mayat Muhammad Firdaus ditemui terdampar dalam keadaan lengkap berpakaian di kawasan berselut di pantai Kuala Sanglang, Jerlun, Kedah pada jam 10.20 pagi, semalam.

Lokasi mangsa ditemui 50 batu nautika dari tempatnya terjatuh di muara Sungai Muda, Penaga.

Mangsa yang berasal dari Pulau Mertajam, Penaga adalah graduan jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknikal Melaka Malaysia dan menjadi nelayan sementara mendapat pekerjaan tetap.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Kuala Muda untuk disahkan ahli keluarga sebelum dihantar ke HKB untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:05 AM