Anggota bomba mengeluarkan mayat Tan yang lemas akibat kereta dipandu terjunam ke dalam parit di Jalan Sungai Abong berhampiran Kampung Parit Buaya Muar, semalam.

Muar: “Sebaik mendengar dentuman kuat, saya melihat sekumpulan lelaki meluru dan terjun ke dalam longkang sedalam dua meter untuk menyelamatkan mangsa,” kata saksi kemalangan maut membabitkan warga emas apabila kereta dipandunya terbabas masuk ke dalam longkang di Parit Buaya, Sungai Abong, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, Toyota Wagon dipandu Tan Hock Lock, 74, hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki longkang besar hingga terbalik.

Menurut saksi yang mahu dikenali Hashim, 50, sebaik mendengar dentuman, dia nampak sekumpulan lelaki terjun ke dalam longkang itu untuk membantu mengeluarkan mangsa.

“Mangsa yang selamat dikeluarkan bagaimanapun meninggal dunia sebelum disahkan pasukan paramedik yang tiba di lokasi beberapa minit kemudian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Muar Shapiee Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2 petang dan dua jentera membabitkan sembilan anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:59 AM