Alor Setar: Dua lelaki warga Myanmar dan Thailand bersama 10 lelaki tempatan yang sedang khayal akibat menagih dadah berjaya ditahan polis dalam operasi khas sempena Op Tutup di beberapa sarang penagihan dadah termasuk berhampiran perairan muara Kuala Kedah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, serbuan dijalankan di sebuah pelantar di Jalan Semantang Pinang, Kuala Kedah pada jam 2 petang hasil maklumat awam dan intipan dilakukan.

Katanya, operasi itu dijalankan sepasukan lima anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu.

“Operasi turut disertai seramai 17 anggota PPM Wilayah Satu dengan memberi tumpuan di lokasi sarang penagihan dadah berhampiran perairan muara Kuala Kedah.

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan, polis merampas dadah jenis syabu seberat 0.54 gram dan heroin 1.31 gram,” katanya.

Adzaman berkata, polis mendapati semua lelaki terbabit termasuk dua warga asing yang masing-masing warga Myanmar dan Thailand itu berusia antara 23 hingga 45 tahun.

Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati sebahagian mereka positif dadah jenis syabu dan heroin.

“Mereka kemudian dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

“Dua warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan kita juga akan rujuk kepada Jabatan Imigresen untuk menyemak mengenai status dokumen perjalanan diri mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:47 AM