Bintulu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sedang mengesan dua individu warga tempatan bagi membantu siasatan kes curi kenderaan yang dilaporkan di bandar ini sepanjang Ogos lalu.

Sumber berkata, individu terbabit ialah Karon Lantan, 37, dan Christy William, 28. Kedua-duanya beralamat terakhir di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan, Tanjung Kidurong.

“Karon mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan dan pecah rumah. Dalam Op Lejang yang dijalankan di Jalan Taman Sri Dagang di sini, kelmarin, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bintulu terserempak dengan Proton Wira hitam yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis mendapati pemandu kereta itu ialah Karon sebelum suspek memecut Proton Wira itu sehingga melanggar beberapa kenderaan milik orang awam di lokasi kejadian,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Asisten Superintendan Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-8005255, 086-33204 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:43 AM