Sekumpulan samseng yang terbabit dalam insiden memukul dan menghalang penguat kuasa Jabatan Imigresen Melaka menjalankan tugas ketika serbuan di sebuah premis hiburan di Taman Melaka Raya, Melaka, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan kumpulan terbabit tidak boleh diterima kerana mereka bukan saja menghalang penguat kuasa menjalankan tugas, malah turut mencederakan 19 pegawai dan anggota penguat kuasa berkenaan.

Menurutnya, polis menahan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam insiden itu, sejak kelmarin dan giat mengesan saki-baki kumpulan terbabit.

“Mereka antara sekumpulan lebih 40 samseng yang menumbuk dan menyepak anggota penguat kuasa secara beramai-ramai dipercayai tidak puas hati dengan operasi dilakukan anggota penguat kuasa di premis hiburan berkenaan jam 12 tengah malam, Rabu lalu.

“Setakat ini, lima suspek ditahan dan kita masih mengesan individu lain yang disyaki terbabit. Kita (polis) tidak akan berkompromi dan membenarkan perkara demikian berlaku.

“Saya arahkan polis Melaka mengesan suspek dan mengambil tindakan, bukan saja dituduh di mahkamah tetapi akan menggunakan POCA terhadap mereka. Perbuatan itu (memukul) tidak boleh diterima,” katanya selepas merasmikan Hari Kantin dan Pelancaran Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Mantin, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:10 AM