Mayat seorang pemancing yang hilang apabila terjatuh dari sampan ketika memasang pukat ketam di Teluk Sengat, dekat sini, Sabtu lalu, ditemui petang kelmarin.

Mayat mangsa, R Thurysamy, 40, dijumpai terdampar di pantai Kampung Johor Lama yang terletak dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang jam 1.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, mayat Thurysamy ditemui terapung di pantai berkenaan oleh penduduk kampung.

Katanya, operasi mencari mangsa yang bermula sejak Sabtu lalu disertai anggota penyelamat terdiri daripada bomba, polis dan penduduk kampung.

“Sejak mangsa dilaporkan hilang, operasi mencarinya diteruskan setiap hari dengan kerjasama penduduk kampung dan nelayan tempatan sebelum menemukan mayatnya terapung dua kilometer dari lokasi dia hilang.

“Mayat mangsa yang dipercayai dihanyutkan arus diserahkan kepada pihak Unit Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk tindakan lanjut,” ”katanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi Sabtu lalu, seorang penduduk menemui sampan yang disewa seorang pemancing berhampiran sebuah rumah rakit.

Thurysamy yang kerap menyewa sampan itu dipercayai terjatuh ke laut ketika memukat ketam 600 meter dari rumah rakit yang terletak di Teluk Sengat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:33 AM
Skip this ad x