SEKITAR pusat bandar Klang kelam ekoran jerebu yang melanda hari ini.
Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Situasi jerebu tidak banyak berubah dan dijangka berlanjutan sehingga pertengahan Oktober ini berikutan dipengaruhi cuaca kering daripada fenomena El Nino dan pembentukan aktif Siklon Tropika di Filipina.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Datuk Che Gayah Ismail berkata, kedua-dua faktor ini saling berkait rapat dan menjadi punca jerebu di Indonesia, Singapura dan Malaysia masih berlaku.

“Walaupun kami meramalkan keadaan jerebu semakin pulih selepas taufan Dujuan lenyap di timur China, Selasa lalu, namun perubahan angin berlaku di Laut China Selatan yang sepatutnya ke Indonesia berpatah balik ke pusat Siklon Tropika mengakibatkan Malaysia terus mengalami jerebu seperti sekarang.

“Apabila ada El Nino, aktiviti Siklon Tropika lebih aktif disebabkan suhu lautan menjadi panas serta membawa angin merentasi Malaysia untuk ke pusat ribut itu di tengah Filipina.

“Ribut ini dijangka bergerak ke bahagian barat dan melemah apabila berakhir di selatan China pada Ahad atau Isnin depan,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya El Nino memberi kesan lebih di kawasan punca kebakaran iaitu Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang menjadi punca jerebu berlaku.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 8:23 AM