Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Nusajaya: “Saya sanggup bersengkang mata mengulang kaji pelajaran di rumah pada waktu malam dan menyiapkan kertas kerja kajian bagi mengejar impian menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebelum berusia 70 tahun,” kata pesara tentera, Mejar Kamarul Azman Jamaluddin.

Kamarul, 68, berkata, dia yang pernah berkhidmat sebagai tentera selama 13 tahun melanjutkan pengajian jarak jauh peringkat ijazah sarjana muda program Sosial Sains di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1983 manakala ijazah bagi program Sumber Manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2003.

Menurutnya, dia tetap bersemangat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi meskipun memasuki usia warga emas.

“Ilmu perlu diteroka dan dicari sepanjang hayat. Berpegang kepada prinsip ini, saya meneruskan hasrat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Selain niat mencabar anak serta cucu supaya menghayati semangat belajar sepanjang hayat, saya juga melanjutkan pelajaran demi kepuasan diri,” katanya yang ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya Dr Zaini Abu Bakar, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 9:53 AM