SABARIDA menunjukkan gambar suaminya, Asmun Dukot (duduk depan dua kiri) ketika menyertai Kursus anjuran SAJ.

Segamat: Seorang kakitangan Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) meninggal dunia selepas pengsan ketika bermesyuarat di Loji Air SAJ Kampung Tengah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Asmun Dukot, 52, yang bertugas sebagai juruanalisa Bahagian Kualiti Air SAJ dikatakan sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri.

Menurut isterinya, Sabarida Sahak, 49, rakan setugas arwah menghubungi ambulans selepas suaminya pengsan, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, arwah mengadu sakit dada selepas solat Subuh pada hari kejadian, tetapi menganggapnya mungkin angin badan atau kepenatan.

“Selesai solat, dia mengadu sakit dada, tetapi katanya mungkin angin dalam badan dan kira-kira jam 7 pagi, dia seperti biasa ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

“Seperti biasa, saya bersalaman sambil mencium tangannya dan tidak sangka itu kali terakhir saya mencium tangan suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ulu Jeram, Jemantah, di sini, semalam.

Sabarida berkata, dia mengetahui suaminya meninggal dunia selepas dimaklumkan seorang kakitangan SAJ beberapa minit selepas disahkan menghembuskan nafas terakhir.

Menurut ibu kepada empat anak berusia 10 hingga 24 tahun itu, dia reda dengan kematian suaminya dan menyifatkan pemergian itu sebagai ketentuan Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 10:30 AM