Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Semua pihak yang menjalankan ibadah korban di masjid dan surau di seluruh negara bukan hanya perlu memastikan sembelihan itu sah dari aspek hukum fiqah malah, aspek teknikal lain seperti keselamatan dan sebagainya juga perlu diambil berat.

Itu maklum balas daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) susulan dua insiden kematian masing-masing di Yong Peng dan Batu Pahat, Johor sewaktu melaksanakan ibadah korban dan seorang wanita tidak sedarkan diri di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas ditanduk lembu korban.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya berpandangan insiden itu boleh dielak sekiranya persediaan pelaksanaan korban dibuat dengan teratur.

“Walaupun sembelihan korban adalah ibadah dituntut dalam Islam, kaedah dan teknik pengurusan sembelihan korban perlu dilakukan dengan betul.

“Justeru, masyarakat diminta supaya tidak melakukan penyembelihan korban mengikut kaedah sendiri sebaliknya merujuk panduan kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Veterinar berdekatan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 9:20 AM