JAMIL Khir (dua kanan) bertanya khabar kepada anak tunggal waris mangsa kren runtuh di Mekah, Muhammad Afiq.
Oleh Nordiana Shafiee
bhnews@bh.com.my

Jitra: Muhammad Afiq Amzar, 3, anak tunggal arwah Shahidan Saad, 52, yang meninggal dunia dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, 11 September lalu dikatakan meluahkan ungkapan kasihan kepada bapanya.

Kakak ipar Shahidan, Norhayati Ishak, 53, berkata, ungkapan itu dilafazkan Muhammad Afiq Amzar pada pagi Aidiladha ketika dia membawa kanak-kanak itu ke Alor Setar.

“Muhammad Afiq Amzar seolah-olah mengetahui apa yang menimpa arwah bapanya. Biarlah dia sendiri yang bertanyakan tentang arwah Shahidan kepada ibunya, Maziatunazna Bidin @ Ibrahim yang dijangka pulang daripada mengerjakan haji, 2 Oktober ini,” katanya, semalam.

Norhayati ditemui pada penyampaian sumbangan wang ihsan RM40,000 kepada Saad Dogoi, 74, bapa kepada arwah Shahidan di Kampung Kodiang Lama Luar.

Sumbangan diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Jamil turut menyerahkan sumbangan khairat kematian RM1,500 kepada ahli keluarga jemaah haji, Othman Saad, 74, di Kampung Pulau Nyior di sini, yang meninggal dunia akibat masalah jantung, 22 September lalu di Hospital An-Nur, Makkah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 6:00 AM