JEMAAH haji bersedia untuk melontar di Jamrah Kubra selepas bermabit di Muzdalifah.

Makkah: Selepas berwukuf di Arafah, jemaah haji Malaysia kini berada di Mina bagi melaksanakan ibadat melontar.

Jemaah haji yang menyelesaikan ibadat wukuf di Arafah bermabit di Muzdalifah dan pergi melaksanakan ibadat melontar Jamrah Kubra di Mina pada 10 Zulhijjah iaitu semalam.

Mabit di Muzdalifah ialah berada di Muzdalifah sepanjang malam hingga pagi atau berada di Muzdalifah seketika selepas tengah malam.

Pada masa sama, umat Islam di sini menyambut Aidiladha dengan ribuan jemaah memenuhi Masjidilharam bagi menunaikan solat sunat Aidiladha pada jam 6.40 pagi waktu Arab Saudi.

Bagi melancarkan pelaksanaan ibadat melontar bagi musim haji tahun ini, Tabung Haji (TH) memperkenalkan garis panduan baru membabitkan wakil melontar.

Pengarah Operasi (Bimbingan) TH Tengku Abdul Aziz Raja Abdullah berkata, garis panduan itu dinilai dari segi hukum syarak, kesihatan dan undang-undang pemerintah.

Menurutnya, sebelum ini jemaah haji yang tidak mampu melaksanakan ibadat berkenaan mewakilkan kepada orang tidak dikenali.

“Apabila tidak dikenali, jemaah haji tidak tahu yang orang diwakilkan melontar atau tidak.

“Jika jemaah haji tidak yakin wakil itu melontar atau tidak, akan menyebabkan jemaah haji was-was sama ada betul atau tidak amalannya,” katanya ketika ditemui.

Tengku Abdul Aziz berkata, bagi mengatasi masalah itu, pada tahun ini wakil dan jemaah haji yang sakit perlu mengisi borang.

Katanya, ia juga perlu mendapat kelulusan pembimbing ibadat haji TH dan pegawai perubatan TH.

“Doktor sahkan sama ada jemaah haji berkenaan berkemampuan atau tidak melontar atau sakit berterusan.

“Jemaah haji itu perlu berjumpa pembimbing ibadat kita yang akan mengambil beberapa kriteria sama ada dia layak atau tidak diwakilkan melontar,” katanya.

Menurutnya, jika saringan gagal jemaah haji berkenaan perlu melaksanakannya sendiri.

“Ada kalangan jemaah haji kita ketika hendak pergi melontar memberi alasan tidak sihat, pada hal dari segi kesihatan menyatakan dia sihat.

“Kami tidak boleh sewenang-wenangnya dari segi hukum meringankannya sedangkan dia mampu melontar,” katanya.

Sekiranya wakil menepati kriteria katanya, jemaah yang sakit perlu dihubungi segera apabila ibadat berkenaan sudah disempurnakan.

Beliau berkata, makluman itu penting kerana ada kaitan dengan tahlul.

“Jika tidak melontar atau lewat melontar bererti jemaah haji itu tidak boleh tanggalkan kain ihram, jadi apabila wakil maklumkan sudah melontar barulah jemaah haji berkenaan boleh tanggalkan kain ihram.

“Sebab itu, kami perlu satu garis panduan khusus memastikan wakil benar-benar laksanakan ibadat itu untuk pesakit tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:31 AM