Oleh Asmah Rusman dan Siraj Mohd Zaini
asmah_rusman@hmetro.commy


Kuala Lumpur: Polis sedang menyiasat kemungkinan dua daripada 11 suspek kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais pernah hadir pada prosiding mahkamah membabitkan suspek utama yang juga seorang bekas doktor tentera.

Sumber berkata, pihak polis kini sedang menyiasat maklumat kehadiran dua suspek terbabit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes perbicaraan seorang doktor di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, sebelum ini.

“Selain meneliti motif pembunuhan, polis turut menyiasat hubungan doktor itu dan dua suspek itu.

“Ada kemungkinan pembunuhan Anthony Kevin sudah dirancang sekian lama berikutan mangsa terbabit dalam pendakwaan kes rasuah,” katanya.

Difahamkan suspek utama yang juga seorang doktor berpangkat kolonel pernah dituduh membabitkan dua tuduhan kes rasuah.

Sementara itu, tiga lagi suspek yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan Anthony Kevin direman hingga 29 September ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata dua daripada suspek itu disambung reman selepas tempoh tahanan reman kedua-duanya tamat semalam.

“Seorang suspek yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul petang kelmarin, ditahan reman tujuh hari bermula hari ini (semalam),” katanya.

Katanya, sepasukan polis forensik diarahkan pergi semula ke sungai Kuala Selangor untuk mencari barang kes petang semalam.

Kelmarin, enam suspek disambung reman sehingga 28 September menjadikan seramai 11 individu masih dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kes terbabit.

Mayat Anthony Kevin, 55, ditemui disumbat di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 4:06 AM