ANUAR (kanan) menunjukkan gambar dua ahli sindiket yang diburu.
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Ipoh: Polis berjaya melumpuhkan sebuah sindiket curi kenderaan dengan penahanan dua lelaki dan merampas sejumlah komponen kenderaan bernilai RM300,000 di sebuah gudang di Taman Rishah, di sini, 15 September lalu.

Dua lelaki berusia 27 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang di Menglembu, di sini, dan dikenal pasti sebagai anggota kumpulan penjenayah Boba.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Anuar Othman berkata, kumpulan itu aktif dalam jenayah sejak empat bulan lalu dengan menggunakan modus operandi membawa kenderaan curi ke sebuah gudang untuk dileraikan.

“Satu pasukan khas ditubuhkan untuk menangani sindiket ini dan hasilnya pada 15 September lalu, dua suspek diberkas ketika sedang menaiki motosikal di Menglembu.

“Hasil siasatan suspek membawa polis ke sebuah gudang di Taman Rishah dan kami menemui tiga lori, lapan kepala lori tanpa enjin yang sudah dirosakkan nombor casis, sembilan badan lori, sebuah Proton Iswara dan sebuah enjin lori,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Chemor, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang suspek yang ditahan itu juga mempunyai rekod jenayah lampau dan polis sedang memburu dua lagi ahli kumpulan Boba termasuk dalang utama.

“Siasatan mendapati gudang yang digunakan untuk menyimpan dan meleraikan kenderaan curi itu disewa. Berdasarkan risikan, gudang itu hanya beroperasi pada sebelah malam.

“Polis percaya kegiatan ini membabitkan lebih daripada empat suspek, bagaimanapun kami memburu dua suspek iaitu S Sathis Kumar, 44, dan R Chandran, 42, yang berasal dari Ipoh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 4:02 AM