ORANG ramai berusaha mengalihkan tayar ke tempat selamat.
ANGGOTA bomba berusaha memadam lima premis yang terbakar di Jalan Jejarum 1E, Bukit Beruntung.
Oleh Amrullah Abdul Karim
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Bukit Beruntung: Lebih 10 jam masa diambil 65 anggota bomba dan penyelamat untuk memadamkan kebakaran kilang tayar sepenuhnya di Jalan Jejarum 1E di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, lima premis yang dijadikan kilang tayar celup dan stor simpanan tayar musnah dalam kebakaran itu.

Kebakaran dikatakan bermula dari bangunan berhampiran sebelum merebak ke kawasan belakang bangunan yang dipenuhi tayar sehingga membakar struktur kilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Mohd Kamil Hamadan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.24 malam dan tiba di lokasi kejadian setengah jam kemudian.

Katanya, api berjaya dikawal jam 2.20 pagi dengan bantuan 65 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, BBP Selayang dan BBP Sungai Buloh dan BBP Petaling Jaya.

“Operasi pemadaman ini mengambil masa lama bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mengakibatkan kebakaran berulang,” katanya.

Menurutnya, operasi lebih 10 jam itu turut dibantu Bomba Sukarela Kepong dan Cheras serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Kubu Bharu.

Difahamkan, bomba menghadapi kesukaran memadam kebakaran awal memandangkan bahan yang terbakar adalah getah tayar dan seluruh premis dua tingkat itu dipenuhi tayar yang digunakan untuk jentera berat.

Mohd Kamil berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 5:26 AM