Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM700 terhadap dua remaja lelaki berusia 14 tahun dan 15 tahun selepas mengaku salah merusuh menggunakan beberapa peralatan termasuk kayu dalam pergaduhan di pusat beli-belah Wangsa Walk, di sini, Julai lalu.

Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu terhadap remaja terbabit selepas meneliti laporan akhlak yang dibacakan oleh seorang pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu prosiding tertutup.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara seminggu sekiranya gagal membayar denda itu.

Selain itu, mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di JKM Gombak sebulan sekali dan menghadiri bengkel interaktif dengan jabatan itu.

Mereka juga tidak dibenarkan keluar dari rumah pada waktu malam bermula jam 8 malam sehingga 6 pagi tanpa kebenaran penjaga selama setahun.

Manakala hukuman ke atas seorang lagi rakan mereka berusia 15 tahun lima bulan yang turut mengaku salah terhadap pertuduhan sama ditangguhkan pada 9 Oktober ini berikutan laporan akhlaknya belum siap.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama 16 orang lagi yang masih bebas merusuh menggunakan kayu, pengunci tayar motosikal, papan tanda kuning, besi dan topi keledar di aras bawah pusat beli-belah itu di Wangsa Maju pada jam 6.45 petang, 20 Julai lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 91(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman denda RM800 terhadap seorang remaja berusia 17 tahun 11 bulan selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mencederakan remaja lelaki berusia 16 tahun di dalam pejabat sekuriti pusat beli-belah berkenaan pada jam 6.50 petang, hari yang sama.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua minggu sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah juga meletakkan syarat tambahan iaitu ibu tertuduh diperintahkan menjaga tertuduh supaya tidak melakukan jenayah selain melapor diri di JKM.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani program khidmat masyarakat selama 50 jam dalam tempoh 12 bulan.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 91(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak.

Media sebelum ini melaporkan insiden pergaduhan yang berlaku di pusat beli-belah itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang individu yang cuba menghalang perhubungan adik perempuannya dengan seorang lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:05 AM