AHMAD Zahid mengunjungi Presiden Indonesia, Joko Widodo di Bogor.

Jakarta: Penyelesaian jangka panjang terhadap masalah jerebu rentas sempadan dibincangkan dengan Indonesia di Jakarta pada 25 September ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia diwakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada perbincangan itu.

Beliau berkata, Malaysia memberikan kerjasama kepada Indonesia menangani isu itu.

“Menteri Sumber Asli akan datang pada 25 September ini mengadakan perbincangan lanjut dengan Indonesia serta rakan ASEAN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Jakarta di Kedutaan Besar Malaysia di sini, semalam.

Jumaat lalu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan Indonesia mengambil beberapa langkah penyelesaian jangka panjang dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berulang setiap tahun.

Masalah jerebu rentas sempadan adalah sejarah berulang melanda beberapa negara Asia Tenggara sejak dahulu lagi.

Program lawatan Ahmad Zahid yang tiba di sini, pagi Jumaat lalu bermula dengan mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Luhut Binsar Pandjaitan.

Ia diikuti kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla di Istana Naib Presiden pada hari yang sama.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri turut melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Presiden di Bogor, 50km dari sini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 6:07 AM